Pulut lepa atau pulut panggang sangat sinonim dengan masyarakat di Negeri Terengganu. Makanan ini juga merupakan salah satu makanan tradisional Terenggganu sejak turun temurun. Kebiasaannya, makanan ini dihidangkan untuk minum petang bersama minuman teh.
Berbanding di negeri lain- lain di Malaysia, pulut lepa Terengganu mempunyai keunikan rasa ikan yang istimewa yang diperbuat daripada inti pulut yang dibakar dan dipanggang. Saya mendapati pulut panggang di negeri lain tidak menggunakan inti ikan malah kebanyakan mereka menggunakan inti kelapa yang bercampur lada kering yang telah dilumatkan, dan rasanya amat berbeza dengan pulut panggang di Terengganu.
Lazimnya, pulut lepa ini dibungkus dan disaluti dengan daun pisang serta dicucuk lidi pada bahagian atas dan bawah sebelum dibakar di atas bara api. Untuk menentukan pulut lepa ini betul-betul masak, ianya perlu dimasak sehingga daun pisang kelihatan kekuningan dan sangat sedap dan berselera makan ketika masih panas. Harga pulut lepa pada waktu sekarang ialah RM1 sebatang.
Makanan ini biasa di jual di pasar-pasar seperti pasar Chabang Tiga, pasar Kedai Payang, pasar malam dan juga gerai-gerai di bahu jalan. Permintaan makanan ini sentiasa meningkat apabila tibanya bulan Ramadhan kerana makanan ini sering dijadikan juadah berbuka puasa dan selalu dihidangkan selepas selesai solat sunat tarawih.
Bagi saya inilah makanan santai saya diwaktu petang jika pulang ke kampung halaman. Boleh dikatakan setiap minggu saya akan merasainya walaupun sekali. Rasa pulut yang lembut dan inti ikan yang masih panas telah memukau hati saya untuk merasainya.
Hari ini saya ingin berkongsi resepi makanan kegemaran saya ini.
Daun pisang yang dilayur secukupnya, sedikit minyak, 2 cawan pulut-rendam 3 jam,2 cawan santan.Sedikit garam
-Pulut dibasuh bersih dan masukkan kedalam loyang bersama santan dan garam.Gaul rata dan kukus sampai masak.Bila dah masak angkat.
Bahan inti:
2 cawan kelapa parut. Garam dan gula secukup rasa. Sedikit minyak
Bahan kisar:
5 biji cili kering,ikan kembung pangang,1/2 sudu kecil jintan manis,1 inci kunyit hidup4 biji bawang merah,2 ulas bawang putih, 3 batang serai
Cara membuat inti:
Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan kisar hingga naik bau. Masukkan garam dan gula secukup rasa
Masukkan kelapa dan gaul rata.
Masak dalam kuali hingga kering dan inti ni berderai(sentiasa kacau).
Ambil daun pisang dan sapu sedikit minyak di atasnya.
Letakkan pulut yang dikukus tadi diatas daun dan leperkan.
Masukkan inti ditengah-tengah pulut dan gulung daun dan semat dengan lidi di kedua hujung daun ni.
Bakar atau panggang hingga garing.
Pulut Panggang Ku..
Selamat mencuba…:-)